Find Us

Saturday, August 27, 2011

selamat menyambut hari raya aidilfitri



















SAYA INGIN MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI KEPADA SEMUA KAUM MUSLIMIN, SEMOGA PEMERGIAN RAMADHAN KALI INI AKAN PERGI DENGAN KEGEMBIRAAN BUAT DIRI KITA BUKANNYA DENGAN PENYESALAN.

تقبل الله منا ومنكم


www.minitramways.blogspot.com
bangi, selangor. ( 07.11 PM )

Friday, August 26, 2011

kisah umat islam ke gereja



MENANGISI MURTAD DAN ZAKAT
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(sertai facebook DrMAZA.com dan twitter realDrMAZA)


Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak. Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa ‘amat sederhana’. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi. Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.

SEDIH

Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat. Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik. Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya. Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.

Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan. Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya. Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan ‘mesra dan sayang’. Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.

Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya? Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat. Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.

TANGKAP

Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja. Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.

Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat. Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu. Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi.

Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut. Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang. Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan ‘tukaran’ yang tidak dapat saya maklumkan di sini. Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya. Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.
Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut ‘semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya’.

Semasa saya menziarahinya –tanpa notis awal- dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih. Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan. Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam. Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai Ph.D dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.

SALAH SIAPA

Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan ‘dakwah’. Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.

Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan. Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita. Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.

ZAKAT

Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu billion. Itu setiap tahun. Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?
Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatahlagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.

Jika program ‘Bersamamu’ boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat. Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan. Firman Allah (maksudnya):

“(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya”.( Surah al-Baqarah ayat 273)

Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan. Kata Saidina ‘Umar r.a.:

“Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah).

Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!

SUMBER
- www.drmaza.com

Tuesday, August 23, 2011


LAILATULQADR
FADILAT MALAM LAILATULQADR

Sesungguhnya malam lailatulqadr itu lebih baik daripada seribu bulan. Sepertimana firman Allah Ta’ala berkenaannya;

إنا أنزلناه في ليلة القدر. وما أدراك ما ليلة القدر. ليلة القدر خير من ألف شهر
.
Maksudnya;
“ Seseunguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam Lailatulqadr. Dan apa yang kamu tahu akan malam Lailatulqadr. Malam Lailatulqadr itu adalah lebih baik daripada seribu bulan ”. ( Surah al-Qadr : 1-3 ).

Adapun amalan-amalan seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan selainnya itulah yang dimaksudkan lebih baik daripada seribu bulan, bukanlah kelebihan itu hanya terletak pada malam tersebut tanpa sebarang ibadat. Jika kita sempat menemui malam tersebut, tetapi kita tidak melakukan sebarang ibadat pada waktu tersebut, maka tidaklah kita mendapat kelebihan malam Lailatulqadr.

PERKARA YANG DITUNTUT MELAKUKANNYA

Kita dituntut agar memperbanyakkan amalan pada malam-malam ganjil iaitu 10 hari terakhir dibulan Ramadhan. Sepertiman yang telah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W, dimana baginda bersungguh-sungguh dalam beribadat pada 10 terakhir dibulan Ramadhan.

Sabda Rasulullah S.A.W;

تحروا ليلة القدر في الوتر من العشر الأواخر من رمضان

“ Carilah lailatulqadr pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Fadil Lailatul Qadri, no 2017 ).

Sabda Rasulullah S.A.W;

التمسوها في العشر الأواخر يعني ليلة القدر فإن ضعف أحدكم أو عجز فلا يغلبن على السبع البواقي

Maksudnya;
“ Carilah ( lailatulqadr ) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia putus asa mencarinya pada baki tujuh malam terakhir ”. ( Hadith riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Syiyam, no 1165 ).

Aisyah R.A berkata;

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وجد وشد المئزر


Maksudnya;
“ Apabila masuk sepuluh ( malam terakhir Ramadhan ) Rasulullah S.A.W akan mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat kainnya ( menghidupkan malam ) ”. ( Hadith riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iktikaf, no 1174 ).

Aisyah R.A berkata;

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يعتكف العشر الأواخر من رمضان حتى توفاه الله

Maksudnya;
“ Sesungguhnya Nabi S.A.W sentiasa melakukan iktikaf pada sepuluh yang terakhir di bulan Ramadhan sehingga Allah mewafatkan Baginda ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iktikaf, no 2026 ).

BILAKAH MALAM LAILATULQADR ?

Para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan malam Lailatulqadr. Al-Hafiz Ibnu Hajar al-Asqalani menjelaskan di dalam bukunya Fathul Baari bahawa terdapat 47 pendapat dalam hal ini. Walaubagaimanapun jumhur ( mejoriti ) dikalangan ulama’ berpendapat, malam Lailatulqadr itu pada 27 Ramadhan. Bersandarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

sabda Rasulullah S.A.W;

عن ابن عمر رضي الله عنها قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " من كان متحريها فليتحرها ليلة السابع والعشرين
".

Maksudnya;
“ Barangsiapa yang berusaha untuk mendapatkannya ( malam Lialatulqadr ), maka hendaklah berusaha pada malam 27 ( di Bulan Ramadhan )". ( Hadith riwayat Imam Ahmad, dengan sanad yang sahih ).

Juga hadith yang diriwayatkan oleh Ubai bin Ka’ab;

عن أبي بن كعب أنه قال : " والله الذي لا إله إلا هو، إنها لفي رمضان، ووالله إني لأعلم اي ليلة هي، هي الليلة التي أمرنا رسول الله صلى الله عليه وسلم بقيامها، هي ليلة سبع عشرين، وأمارتها أن تطلع الشمس في صبيحةيومها، بيضاء لا شعاع لها ".


Maksudnya;
“ Demi Allah tiada tuhan melainkannya, sesungguhnya ( malam Lailatulqadr ) itu pada bulan Ramadhan. Demi Allah, sesungguhnya aku telah diberitahu bilakah malam tersebut, dimana pada malam tersebut Rasulullah S.AW telah memerintahkan kepada kami agar menghidupkannya, iaitu pada malam 27 Ramadhan, dan tanda baginya, apabila terbit matahari di waktu pagi, cahayanya keputihan dan ia tidaklah terik ”. ( Hadith riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, dan al-Tirmidzi ).

AMALAN YANG PERLU DILAKUKAN PADA MALAM LAILATULQADR

Disunnahkan untuk kita memperbanyakkan ibadat dan memperbanyakkan doa pada bulan malam Lailatulqadr. Iaitu dengan meminta keampunan kepada Allah Ta’ala daripada dosa-dosa yang telah kita lakukan dan meminta agar kita diselamatkan daripada api neraka bahkan ditempat dikalangan para Nabi.

Sabda Rasulullah S.A.W daripada Abi Hurairah katanya;

عن أبي هريرة : ان النبي صلى الله عليه وسلم قال : " من قام ليلى القدر إيمانا واحتسابا، غفر له ما تقدم من ذنبه ".

Maksudnya;
“ Barangsiapa bangun pada malam Lailatulqadr dengan keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampunkan dosa-dosanya yang lepas ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

Demikian juga hadith daripada Aisyah R.A;

عن عائشة رضي الله عنها قالت : قلت : يا رسول الله ! أرأت إن علمت، أي ليلة ليلة القدر. ما أقول فيها ؟ قال : " قولي : اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني ".

Dari Aisyah R.A katanya; “ Wahai Rasulullah, apakah pendapat kamu jika aku mengatahui malam lailatulqadr tersebut, apakah yang perlu aku doakan pada malam tersebut?, Sabda Rasulullah S.A.W; “ Ya Allah yang maha pengampun, ampinulah dosa-dosaku ”. ( Hadith riwayat Imam Muslim ).

HIKMAH DIRAHSIAKAN MALAM LAILATULQADR

Hikmah terpenting adalah agar seseorang Muslim itu sentiasa tetap bersemangat untuk mencari malam tersebut dengan menghidupkan seluruh malam pada bulan Ramadhan, terutamanya disepuluh malam terakhir.

Diriwayatkan dari Aisyah R.A berkata; “ Nabi S.A.W apabila masuk sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan , beliau menghidupkan malam, membangunkan keluarganya dan mengikat kainnya ”. ( Hadith riwayat Imam Muslim ).

Diriwayatkan juga daripada Aisyah R.A berkata; “ Rasulullah S.A.W bersungguh-sungguh disepuluh hari terakhir, melebihi dari biasa pada hari-hari lain ”. ( Hadith riwayat Imam Muslim ).


اللهم نسألك رضاك والجنة

Wallahu Ta’ala A’lam.


http://www.minitramways.blogspot.com/
bandar baru bangi, selangor.
23 Ogos 2011 ( 03.57 AM )






Sunday, August 7, 2011

SUNNAH DAN ADAB BERPUASA


SUNNAH DAN ADAB BERPUASA

1. BERDOA KETIKA MELIHAT ANAK BULAN

Baginda memerintahkan para sahabat agar membaca doa berikut apabila melihat al-Hilal ( anak bulan );

اللهم اهلله علينا باليمن والإيمان والسلامة والإسلام ربي وربك الله
Maksudnya;
“ Ya Allah munculkanlah anak bulan ini ke atas kami dengan membawa keberkatan, keselamatan dan Islam. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah ”. ( Hadith riwayat al-Tirmidzi, Sunan al-Tirmidzi, kitab al-Da’waat, no : 3373 ).

2. SAHUR

Diantara kelebihan bersahur ialah, sabda Rasulullah S.A.W;

فصل ما بين صيامنا وصيام أهل الكتاب أكلة السحر
Maksudnya;
“ Beza antara puasa kita dan puasa ahli Kitab ialah bersahur ”. ( Hadith riwayat Muslim )

Sabda Rasulullah S.A.W lagi;

البركة في الثلاثة : في الجماعة والثريد والسحور

Maksudnya;
“ Kerberkatan itu pada 3 perkara; Al-Jamaah, Bubur, dan sahur ”. ( Hadith riwayat al-Tobrani, Mu’lam al-Kabir ).

Sabda Rasulullah S.A.W dari Anas R.A;

تسحروا فإن في السحور بركة

Maksudnya;
“ Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu adanya keberkatan ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim ).

3. MELEWATKAN SAHUR

Menurut Anas R.A, Zaid bin Thabit R.A berkata;

تسحرنا مع النبي صلى الله عليه وسلم ثم قام إلى الصلاة. قلت : كم كان بين الأذان والسحور. قال : قدر خمسين آية

Maksudnya;
“ Kami makan sahur bersama Nabi S.A.W, kemudian baginda berdiri untuk solat. Aku berkata; Berapa lama antara azan dan sahur? ”. Beliau menjawab; “ Kira-kira 50 ayat ayat ”. ( Hadith riwayat Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, no 1921 ).

Sabda Rasulullah S.A.W; “ Apabila salah seorang daripada kami mendengar azan sedang dilaungkan sedangkan bekas makanan ada ditangannya, janganlah meletakkan semula makanan tersebut sehingga dia menghabiskan makanan tersebut ”. ( Hadith riwayat al-Hakim ).

4. MENINGGALKAN KATA-KATA KEJI DAN PERBUATAN JAHIL

Rasulullah S.A.W bersabda;

الصيام جنة فلا يرفث ولا يجهل

Maksudnya;
“ Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang itu mengungkapkan perkataan yang keji atau berbuat sesuatu perkara yang jahil ( menyalahi syarak ) ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, no 1894 ).
5. TIDAK MEMBALAS CERCAAN ATAU MAKIAN

Sabda Rasulullah S.A.W;

الصيام جنة فلا يرفث ولا يجها وإن امرو قاتله أو شاتمه فليقل : إني صائم مرتين

Maksudnya;
“ Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath ( perbuatan yang keji ) dan berbuat sesuatu perkara yang jahil ( menyalahi syarak ). Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata; sesungguhnya aku sedang berpuasa ( Nabi menyebut sebanyak 2 kali ) ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, no 1894 ).

6. TIDAK DIBENARKAN BERBOHONG

Rasulullah S.A.W bersabda;

من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في أن يدع طعامة وشرابة

Maksudnya;
“ Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan melakukan perbuatan itu terus-menerus, Allah langsung tidak berhajat ( memandang ) perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum ( puasa ) ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, no 1903 ).

7. BERSEDEKAH

Ibn Abbas R.A berkata;

كان النبي صلى الله عليه وسلم أجود الناس بالخير وكان أجود ما يكون في رمضان

Maksudnya;
“ Nabi S.A.W adalah manusia yang paling dermawan dalam hal kebaikan dan kemuncak sifat dermawan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadhan ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, no 1902 ).

8. MEMBACA AL-QURAN

Ibn Abbas R.A berkata;

وكان جبريل عليه السلام يلقاه كل ليلة في رمضان حتى ينسلخ يعرض عليه النبي صلى الله عليه وسلم القرآن

Maksudnya;
“ Jibril A.S menemuinya ( Nabi S.A.W ) pada setiap malam di bulan Ramadhan hingga bulan itu berlalu. Nabi S.A.W memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, no 1902 ).

9. MELAKUKAN UMRAH

Sabda Rasulullah S.A.W;

فإذا كان رمضان اعتمري فيه فإن عمرة في رمضان حجة

Maksudnya;
“ Apabila datang bulan Ramadhan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadhan menyamai pahala haji ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Umrah, no 1782 ).
10. MENYEGERAKAN BERBUKA

Menurut Sahl bin Sa’d R.A, Nabi S.A.W telah bersabda;

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر

Maksudnya;
“ Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana mereka sentiasa menyegerakan berbuka ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim ).
11. MEMPERBANYAKKAN DOA SEBELUM BERBUKA

Ibn Umar R.A berkata;
“ Apabila berbuka puasa, Nabi S.A.W akan membaca;

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله

Maksudnya;
“ Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala dengan izin Allah ”. ( Hadith riwayat Abu Daud, Sunan Abu Daud, Kitab Shaum, no 2010 ).

Abdullah bin Umar R.A berkata;

“ Apabila berbuka puasa bacalah;

اللهم إني أسألك برحمتك التي وسعت كل شيء أن تغفر لي

Maksudnya;
“ Ya Allah ! seseungguhnya aku memohon rahmatMu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampuni aku ”. (Hadith riwayat Ibn Majjah, Sunan Ibn Majjah, Kitab al-Shiyam, no 1743 ).

Di samping doa-doa di atas, kita juga di bolehkan untuk berdoa apa sahaja yang dihajati kerana diantara waktu yang mustajab untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa.

Sabda Rasulullah S.A.W;

إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد

Maksudnya;
“ Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka ”. ( Hadith riwayat Ibn Majjah, Sunan Ibn Majjah, Kitab al-Shiyam, no 1743 ).

12. BERBUKA PUASA DENGAN RUTAB, TAMAR ATAU AIR.

Anas bin Malik R.A berkata;

كان النبي صلى الله عليه وسلم يفطر قبل يصلي على رطبات فإن لم تكن رطبات فتميرات فإن لمتكن تميرات حسا حسوات من ماء
Maksudnya;
“ Rasulullah S.A.W berbuka puasa sebelum solat ( Maghrib ) dengan rutab. Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar dan jika tiada tamar, baginda akan meneguk beberapa teguk air ”. ( Hadith riwayat al-Tirmidzi, Sunan al-Tirmidzi, Kitab al-Shaum, no 632 ).
13. SEGERA MENGERJAKAN SOLAT MAGHRIB

Hadith di atas tidak menafikan bahawa Rasulullah S.A.W juga menyegerakan solat Maghrib setelah berbuka puasa dengan rutab, tamar, atau air.

Namun , sekiranya makan malam telah terhidang, maka sunnah untuk kita menjamah makan malam atau berbuka terlebih dahulu walaupun solat telah didirikan. Setelah selesai menikmati hidangan, bersegeralah mengerjakan solat Maghrib. Sabda Rasulullah S.A.W;

إذا وضع عشاء أحدكم وأقيمت الصلاة فابدءوا بالعشاء ولا يعجل حتى يفرغ منه

Maksudnya;
“ Apabila seseorang dihidangkan makan malam sedangkan iqamat telah dilaungkan atau solat telah didirikan, dahulukanlah makan malam tersebut. Janganlah seseorang itu tergopoh-gopoh menghabiskan makanan sehinggalah dia selesai dalam keadaan tenang ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, no 674 ).

14. BERBUKA SECARA SEDERHANA

Sabda Rasulullah S.A.W;

ما ملأ آدمي وعاء شرا من بطن بحسب ابن آدم أكلات يقمن صلبه فإن كان لا محالة فثلث لطعامه وثلث لشرابة وثلث لنفسه

Maksudnya;
“ Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya ( memberi tenaga kepadanya ). Sekiranya tidak mustahil ( boleh dilakukan ), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman, dan satu pertiga untuk pernafasan ”. ( Hadith riwayat al-Tirmidzi, Sunan al-Tirmidzi, Kitab al-Zuhud, no 2302 ).
15. MENJAMU ORANG YANG BERBUKA

من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شياء

Maksudnya;
“ Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa, iaitu pahala orang yang berpuasa tidak dikurangkan walau sedikit ”. ( Hadith riwayat al-Tirmidzi, Sunan al-Tirmidzi, Kitab al-Shaum, no 735 ).
16. MENGERJAKAN SOLAT TARAWIH

Rasulullah S.A.W bersabda;

من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه

Maksudnya;
“ Sesiapa beribadah pada malam Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan pahala, akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu ”. ( Hadith riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab Shalat al-Musafiraini wa Qasaruha, no 759 ).

17. BERUSAHA MENDAPAT LAILATULQADAR

Sabda Rasulullah S.A.W;

تحروا ليلة القدر في الوتر من العشر الأواخر من رمضان
“ Carilah lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Fadil Lailatul Qadri, no 2017 ).

Sabda Rasulullah S.A.W;

التمسوها في العشر الأواخر يعني ليلة القدر فإن ضعف أحدكم أو عجز فلا يغلبن على السبع البواقي

Maksudnya;
“ Carilah ( lailatulqadar ) pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah ( putus asa ) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir ”. ( Hadith riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Syiyam, no 1165 ).

18. BERIKTIKAF PADA SEPULUH AKHIR RAMADHAN

Aisyah R.A berkata;

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا دخل العشر أحيا الليل وأيقظ أهله وجد وشد المئزر

Maksudnya;
“ Apabila masuk sepuluh ( malam terakhir Ramadhan ) Rasulullah S.A.W akan mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat kainnya ( menghidupkan malam ) ”. ( Hadith riwayat Muslim, Sahih Muslim, Kitab al-Iktikaf, no 1174 ).

Aisyah R.A berkata;

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يعتكف العشر الأواخر من رمضان حتى توفاه الله

Maksudnya;
“ Sesungguhnya Nabi S.A.W sentiasa melakukan iktikaf pada sepuluh yang terakhir di bulan Ramadhan sehingga Allah mewakafkan baginda ”. ( Hadith riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab al-Iktikaf, no 2026 ).

اللهم نسألك رضاك والجنة

Wallahu Ta’ala A’lam.


http://www.minitramways.blogspot.com/
Tok Sira, Kauntan.
7 Ogos 2011 ( 04.11 PM )

Thursday, August 4, 2011

SELAMAT DATANG RAMADHAN




PERJALANAN BULAN RAMADHAN


Perjalanan masa tidak dapat dihentikan, zaman bersilih ganti, pertukaran siang dan malam terus berselang-seli, pertukaran bulan juga datang dan pergi, itulah tanda kebesaran Allah Ta’ala kepada hambanya supaya sentiasa berfikir.

Ketibaan bulan Ramadhan yang mulia ini telah lama dinanti-nantikan oleh umat islam seluruh dunia, kerana bulan Ramadhan diantara bulan yang mulia dan mempunyai pelbagai kelebihan dan kebaikan yang dijanjikan oleh Allah Ta’ala. Bulan Ramadhan adalah bulan rahmat, bulan keampunan, bulan kemuliaan, bulan keberkatan, bulan kesabaran, bulan beribadat, dan banyak lagi nama-nama yang disandarkan kepada bulan Ramadhan itu bagi menunjukkan kemuliaan yang ada padanya.

Ia tidak dapat dinafian oleh sesiapa pun akan kemulian bulan Ramadahan kerana ia jelas disebut di dalam Hadith yang sahih berkenaan kelebihan pada bulan Ramadhan, sabda Rasulullah S.A.W ;

إذا دخل رمضان فتحت أبواب الجنة، وفي رواية: فتحت أبواب الجنة، وغلفت أبواب جهنم وسلسلت الشياطين
“ Jika masuknya bulan Ramadhan akan dibuka pintu-pintu syurga”. Dalam riwayat yang lain; “ Dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu Neraka dan di rantai syaitan-syaitan ”. ( Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim ).

UMAT ISLAM DAN BULAN RAMADHAN


Kebanyakkan umat Islam telah lama menanti akan kedatangan bulan yang agung ini dengan segala persiapan, baik dari segi rohaninya mahupun jasmani. Tidak hairanlah kerana perkara tersebut telah pun dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat R.A dalam menyambut bulan Ramadhan dengan memperbanyakkan amalan pada bulan Sya’ban iaitu sebulan sebelum tibanya bulan Ramadhan. Dan hal ini juga turut diikuti oleh umatnya kemudian, kerana sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Rasulullah S.A.W. sepertimana sabdanya;

أما بعد، فإن خير الحديث كتاب الله، وخير الهدى هدى محمد صلى الله عليه وسلم وشر الأمور محدثاتها، وكل بدعة ضلالة
“ Sebaik-baik perkara adalah Kitab Allah, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Rasulullah S.A.W, seburuk-buruk perkara adalah perkara yang diperbaharui ( dalam agama ), dan setiap perkara Bid’ah itu adalah sesat ”. ( Hadith riwayat Muslim, no 867 ).

Kebanyakkan diantara kita pula tertunggu-tunggu bulan Ramaadha ini, kerana pada bulan inilah hubungan sesama keluarga dapat dieratkan. Kemungkinan pada bulan-bulan lain, sesebuah keluarga itu jarang bertemu dan makan bersama-sama, tetapi ianya dapat dilakukan pada bulan Ramadhan iaitu semasa berbuka dan bersahur. Mungkin juga, sesetengah daripadanya tidak pernah solat bersama-sama keluarga, tetapi baginya kesempatan tersebut dengan berterawih. Ada pula, segelintir mereka tidak mempunyai banyak masa bersama keluarga sebelum ini, tetapi padanya kelapangan pada bulan Ramadhan.

DALIL-DALIL TENTANG RAMADHAN AL-QURAN AL-KARIM



Terdapat beberapa ayat al-Quran yang menerangkan kepada kita tentang pensyariatan berpuasa dan perkara yang berkaitan dengannya. Diantara firman Allah Ta’ala;

يا أيها الذين آمنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون
“ Wahai orang-orang yang beriman, telah ditulis ( disyariatkan ) ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah ditulis ( disyariatkan ) kepada mereka sebelum kamu moga-moga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”. ( Surah Al-Baqarah ; 183 ).

فمن كان منكم مريضا أو على سفر فعدة من أيام أخر
“ Barang siapa dikalangan kamu yang sakit atau bermusafir sesungguhnya baginya untuk menggantikan ( puasa yang ditinggalkannya ) pada hari-hari lain ”. ( Surah Al-Baqarah ; 184 ).

وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين
“ Dan bagi sesiapa yang padanya kesulitan, baginya fidyah dengan memberi makan kepada orang yang miskin”. ( Surah Al-Baqarah ; 184 ).

وأن تصوموا خيرا لكم إن كنتم تعلمون
“ dan sesungguhnya dengan berpuasa itu adalah baik untuk kamu jika kamu mengatahui ( hakikat sebenarnya ) ”. ( Surah Al-Baqarah ; 184 ).

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرآن هدى للناس
“ Pada bulan Ramadhan itu telah diturunkan Al-Quran padanya yang menjadi petunjuk kepada manusia ”. ( Surah Al-Baqarah ; 185 ).

فمن شهد منكم الشهر فليصمه
“ Jika sesiapa yang melihat anak bulan maka baginya berpuasa ”. ( Surah Al-Baqarah ; 185 ).


AL-HADITH AL-SYARIF




عن أبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " إذا دخل رمضان فتحت أبواب الجنة" وفي رواية : " فتحت أبواب الجنة، وغلفت أبواب جهنم وسلسلت الشياطين "
Daripada Abi Hurairah R.A katanya; sabda Rasulullah S.A.W ; “ Apabila masuk bulan Ramadhan, dibuka pintu-pintu surga ”. di dalam riwayat lain; “ Dibuka pintu-pintu surga, ditutup pintu-pintu neraka, dan dirantai Syaitan-syaitan ”. ( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim ).

عن سهل بن سعد قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " في الجنة ثمانية أبواب : منها باب يسمى الريان لا يدخله إلا الصائمون ". وزاد : " ومن دخله لم يظمأ أبدا ".
Daripada Sahal bin Sa’ad R.A katanya; Sabda Rasulullah S.A.W; “ Di dalam surga itu terdapat 8 pintu, dan diantara pintu-pintu tersebut salah satunya bernama al-Rayyan, tidaklah seseorang pun yang dapat masuk melaluinya melainkan orang-orang yang berpuasa ”. ( Hadith riwayat Bukhari, Muslim, al-Nasai ) dan lafaz daripada al-Tarmidzi ditambah; “ Dan barang siapa yang memasukinya, maka dia tidak akan dahaga selama-lamanya ”. ( Sanad hadith tersebut adalah Hassan ).

عن أبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه، ومن قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه ".
Daripada Abi Hurairah R.A katanya; Sabda Rasulullah S.A.W; “ Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan pahala, maka akan diampunkan segala dosanya yang lepas, dan barang siapa yang mendirikan Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan pahala, maka akan diampunkan segala dosanya yang lepas ”. ( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim ).

عن أبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " كل عمل ابن آدم له، إلا الصوم فإنه لي، وأنا أجزي به، يضاعف له الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف، للصائم فرحتان : فرحة عند فطره وفرحة عند لقاء ربه ".
Daripada Abi Hurairah R.A katanya; Sabda Rasulullah S.A.W; “ Setiap amalan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa sesungguhnya ia adalah untukKu, maka Aku akan memberi ganjaran baginya, akan digandakan untuknya dengan 10 kebaikan sepertinya kepada 700 gandaan, bagi orang puasa itu 2 kegembiraan; gembira semasa berbuka dan gembira semasa bertemu dengan Tuhannya ”. ( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim ).

وعن أبي سعيد قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " ما من عبد يصوم يوما في سبيل الله إلا باعد الله بذلك اليوم وجهه عن النار سبعين خريفا ".
Daripada Abi Said katanya; Sabda Rasulullah S.A.W; “ Apabila ada dikalangan hambKu yang berpuasa satu hari dijalan Allah, melainkan Allah menjauhnya bagi 1 hari tersebut daripada api neraka sejauh 70 Kharifan ”. ( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim ).

وعن أبي هريرة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : " الصلوات الخمس، والجمعة إلى الجمعة، ورمضان إلى رمضان، مكفرات ما يبنهن، إذا اجتنبت الكبائر ".
Daripada Abi Hurairah, dari Rasulullah S.A.W bersabda; “ Solat 5 waktu, Jumaat dengan Jumaat, Ramadhan dengan Ramadhan, padanya keampunan diantara kedua-duanya, jika ia menjauhkan diri daripada dosa-dosan besar ”. ( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim ).



KELEBIHAN BULAN RAMADHAN MELEBIHI DARIPADA SEBAHAGIAN BULAN-BULAN LAIN

Dalil-dalil diatas menunjukkn kepada kita bahawa Bulan Ramadhan mempunyai kelebihannya yang tersendiri melebihi sebahagian daripada bulan-bulan yang lain. Ini menunjukkan bahawa, bertapa ruginya seseorang itu jika dia tidak memperolehi kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan sepertimana yang telah dijanjikan oleh Allah Ta’ala sedangkan dia sempat menempuhi atau berada didalam bulan tersebut. Maka perlulah bagi seseorang itu untuk mencari dengan bersungguh kelebihan-kelebihan yang dijanjikan itu agar ia tidak terlepas.

Bagi mendapat kelebihan yang telah dijanjikan, persediaan perlulah dibuat untuk menempuhinya dalam menjalani ibadah tersebut, diantaranya ialah membperbetulkan atau memperbaharui Aqidah kita dengan sebenar-benar Aqidah, iaitu tidak melakukan perbuatan yang membolehkan syahadah kita terbatal. Ini Kerana, apabila terbatalnya syahadah, maka tidak ada nilainya segala ibadat yang kita lakukan. Sepertimana firman Allah Ta’ala;

إن الله لا يغفر ان يشرك به، ويغفر ما دون ذلك لمن يشاء
“ Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa perbuatan syirik kepadaNya, dan Allah mengampunkan dosa-dosa selain daripadanya dengan kehendakNya ”. ( Surah al-Nisa’ ; 48 ).

Disamping itu juga, kita digalakkan untuk memperbanyakkan ilmu pengatahuan mengenai Kelebihan bulan Ramadhan dan mengatahui perkara-perkara yang dituntut sepanjang bulan tersebut, agar segala perbuatan yang dilakukan itu tidaklah sia-sia disebabkan kejahilan kita berkenaannya. Firman Allah Ta’ala dan sabda Rasulullah S.A.W;

ولا تقف ما ليس لك من علم، إن السمع والبصر والفؤاد كل أولئك كان عنه مسئولا
“ Jangalah kamu melakukan sesuatu perkara yang kamu tiada ilmu mengenainya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua akan disoal dengan apa yang telah dilakukan olehnya ”. ( Surah al-Isra’ : 36 ).

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد، وفي رواية : من عمل عملا ليس عليه أمرنا فهو رد
“ Barang siapa yang memperbaharui perkara dalam urusan agama, bukan daripada apa yang kami perintahkan, maka ianya ditolak ”. Dalam riwayat lain; “ Barang siapa melakukan sesuatu amalan bukan sepertimana yang kami perintahkan, maka ia tertolak”. ( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim ).

Kita juga perlulah mengikhlaskan diri dalam melakukan ibadat, iaitu banyak melakukan perkara-perkara yang disyariatkan sahaja, dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang dilarang oleh syarak. Janganlah kita cemarkan bulan Ramadhan yang mulia ini dengan perbuatan yang diada-adakan di dalam agama, kerana perkara tersebut termasuk perbuatan yang dilaknat oleh Allah dan RasulNya. Sabda Rasulullah S.A.W;

إن كذب على ليس ككذب على احد، من كذب على متعمدا فيتبؤا مقعده من النار
“ Sesungguhnya menipu keatasKu tidaklah sama seperti menipu Keatas yang lain, barang siapa menipu keatasKu dengan sengaja, maka Siaplah tempatnya di dalam api neraka ”. ( Hadith riwayat Bukhari ).

Justeru itu, menjadi satu kewajiban pada diri kita agar lebih berhati-hati dalam melakukan segala perbuatan yang dikira sebagai ibadat, pastikan perbuatan tersebut ada padanya sandaran dalil yang sahih agar kita tidak melakukan sesuatu perbuatan yang sia-sia bahkan perbuatan yang dilaknat oleh Allah dan RasulNya. Saya menyeru pada diri saya dan saudara agar kita memperbanyakkan amal ibadat dan bersungguh-sungguh dalam mencari keredhaanNya, kerana dengan keredhaannyalah sahaja kita dapat menyelamatkan diri daripada azab api neraka.

- اللهم نسألك رضاك والجنة -

Wallahu Ta’ala A’lam.


http://www.minitramways.blogspot.com/
Perpustakaan Negeri Pahang, Kauntan.
4 Ogos 2011 ( 01.25 PM )

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More