Find Us

Tuesday, February 16, 2010

Maulid Nabi


Assalamualaikum wbt.

Bercakap berkenaan hari kelahiran baginda nabi s.a.w yang bakal disambut oleh umat islam pada 26 Februari 2010 bukan lah sesuatu perkara baru yang perlu kepada kejutan dan juga tidak logik untuk menjadikan ia satu berita yang memeranjatkan. Sesetengah tempat di negara kita menjadikan hari kelahiran baginda nabi ini sebagai hari untuk mengadakan majlis-majlis yang mana kadang-kadang apabila difikirkan kembali kaitan majlis tersebut dengan hari kelahiran baginda tidaklah logik jika ia difikir dengan akal yang waras.

Akan tetapi, inilah realiti yang terjadi di negara Malaysia yang mana penduduknya mejoriti beragama Islam dan malah mereka percaya bahawa sandaran mereka dalam agama itu adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Tetapi adakah kepercayaan itu adalah satu kepercayaan yang diikuti dalam hidup mereka atau sekadar kepercayaan yang hanya untuk memenuhi syarat-syarat untuk menjadi seorang dikatakan muslim.

Kata Muhammad kutub :
" Sesungguhnya nabi kita Muhammad ini lebih banyak dikenang dari diikuti ".


Sabda Rasulullah s.a.w :

" Tidak ada nabi yang dihantar oleh Allah ta'ala melainkan terdapat padanya orang-orang yang menyokong dan orang-orang yang membela ( dakwah ), kemudian selepas hilangnya golongan itu dan diganti dengannya yang mana mereka itu menyatakan apa yang mereka tidak lakukan, dan mereka lakukan apa yang tidak diperintahkan, sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan tangannya dia seorang mukmin, sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan lidahnya dia seorang mukmin, dan sesiapa yang berjihad menentang mereka dengan hatinya dia seorang mukmin ". ( Hadith Muslim ).

Sesungguhnya kita perlulah berharap dan berdoa agar Allah ta'ala memelihara kita daripada perkara seperti ini. Agar kita dapat memahami erti sebenar apa yang dikatakan perjuangan baginda nabi itu, bukanlah ia sekadar hanya diraikan dalam satu majlis yang padanya dijemput artis untuk menyanyikan lagu berkenaan kelahiran baginda nabi, mahupun majlis perarakan yang mana padanya selawat dilaungkan. Akan tetapi perjuangan itu tetap satu perjuangan, dan perjuangan itu penghayatan dan padanya dipikul bebanan kesusahan, penderitaan, penghinaan hanya semata-mata untuk mengikut jalan yang dilakukan oleh baginda nabi s.a.w.



Dan sesungguhnya dalam sejarah Rasulullah s.a.w peristiwa yang paling perit yang pernah dikenakan oleh baginda nabi adalah di perkampungan Abdiyalai di Taif. selepas meninggalnya Siti Khatijah dan Abu Talib, kebanyakkan orang Mekah sudah tidak menerima dakwah yang dibawa oleh baginda, puas baginda cuba untuk berdakwah kepada ahli keluarga dan sahabat handai, akan tetapi kesemua mereka itu menolaknya sehinggakan baginda nabi berfikir bahawa masyarakat di Taif mungkin akan menerima dakwah baginda, satu percubaan yang mana baginda sendiri tidak tahu akan kesudahannya.

Baginda pergi ke Taif dan apabila sampai di Taif tidak ada rumah di sana melainkan nabi s.a.w ketuk kesemuanya dan nabi ajak kepada islam. Akan tetapi, penduduk Taif bukan sahaja enggan menerima islam malah menyuruh remaja-remaja mereka supaya berada di kanan dan kiri jalan lalu melontar batu kearah baginda nabi s.a.w sehingga baginda luka dan darahnya turun hingga ke tumit baginda. Dan ketika baginda mengheret tubuh baginda yang penuh luka, dengan hati yang bercelaru, dan perasaan yang begitu gundah-gelana tetapi
baginda tetap memikirkan tentang masa depan dakwah yang telah Allah ta'ala bebankan ke atasnya.

Semasa dalam keadaan yang amat memeritkan itu, baginda nabi mengadu dan merintih kepada Allah ta'ala akan deritanya perjuangan itu, dimana ia satu munajat, satu aduan ataupun satu rintihan yang tidak diikuti dengan sesuatu permintaan yang besar tatapi ia besar bagi nabi s.a.w.

Sabda Rasulullah s.a.w :

" Ya Allah, aku mengadu kepadamu lemahnya kekuatanku, dan sedikitnya helahku, dan hinanya aku dikalangan manusia, wahai tuhan yang maha penyayang dikalang yang penyayang. Engkaulah tuhan bagi orang-orang yang ditindas dan engkaulah tuhan ku, kepada siapa hendak kau serahkan diriku ini wahai tuhan. Adakah orang jauh yang bermasam muka denganku ataupun kepada musuh yang menguasai urusanku. Namun jika engkau tidak murka kepada ku nescaya aku tidak peduli wahai tuhanku. Aku berlindung dengan cahaya wajahmu yang menerangi kegelapan yang dengannyalah dibaiki segala urusan dunia dan akhirat. Agar jangan engkau turunkan marahmu kepadaku, atau engkau halalkan murkamu keatasku. Kepada engkaulah pengharapan sehingga engkau redha, tidak ada daya dan upaya melainkan dengan engkau wahai tuhanku".

Hanya banyak itulah ucapan nabi s.a.w mengenangkan dirinya yang diseksa dan dilakukan penginayaan dengan bebenan yang dibawanya. Allah ta'ala tidak menghampakan rasulnya, ketika nabi s.a.w mengheret tubuh baginda telah termasuk ke dalam kebun anggur Utbah dan Syaibah bin Rabi'ah yang mana kedua-duanya adalah musuh nabi s.a.w iaitu pembesar dan anak pembesar Quraisy. Walau bagaimanapun meraka tidak menghalau baginda nabi s.a.w malah mereka menyuruh pekerjanya iaitu Addas untuk memberi anggur kepada baginda nabi s.a.w. Dalam keadaan lemah akibat menanggung kecederaan yang teruk, akan tetapi hebatnya jiwa seorang nabi ini yang mana seorang pendakwah baginya hidup dan mati itu hanya kerana Allah Ta'ala. Besar jiwanya dan besar hasratnya dalam membawa dakwah islam.

Di dalam keadaan yang demikian, apabila anggur itu diberikan kepada baginda nabi s.a.w dan baginda mengambilnya lalu bagindan nabi s.a.w membaca : " Bismillah ". Addas berkata : " perkataan ini tidak dikatakan oelah penduduk disini ". Lalu nabi s.a.w bertanya : " Dari mana kamu Addas dan apakah agamamu ". Kata Addas : " Aku dari Ninawa, dan aku nasrani". Ninawa ini adalah satu perkampungan yang jauh di Iraq. Dan jarak diantara Iraq dan Taif tidaklah dekat, penduduk-penduduk Taif tidak tahu akan cerita berkenaan Ninawa, terlalu jauh Addas mengembara dan bekerja sampai di Taif.

Dengan pantas baginda berkata : " Aaahh ! dari perkampungan lelaki soleh Yunus bin Matta ( nabi Yunus ) ". Addas terkejut, lantas Addas bertanya kepada baginda nabi s.a.w : " Apa yang kamu tahu tentang Yunus bin Matta ". Baginda berkata : " Dia adalah saudaraku, dia dahulunya seorang nabi dan aku juga seorang nabi ". Walaupun Yunus bin Matta ini sudah beribu tahun wafat, akan tetapi sejarahnya masih diingati oleh penduduk Ninawa. Apabila Addas mendengar perkataan baginda nabi s.a.w " Dia saudaraku, dia dahulunya seorang nabi dan aku juga seorang nabi " lantas Addas dengan pantas memegang tangan dan kaki nabi s.a.w lalu menciumnya. Dan Addas mengakui ajaran yang dibawa oleh baginda nabi s.a.w.

Perjuangan yang panjang seperti itu, dan bebanan penderitaan yang perit yang perlu ditanggung dan dipikul oleh baginda nabi s.a.w, tidaklah ia dapat difahami atau dirasai dengan mengadakan majlis-majlis yang mana kadang-kadang padanya barangkali terdapat banyak pembaziran yang berlaku.

Akan tetapi penghayatan itu dapat difahami oleh orang yang menanggung amanah dan bebanan dakwah, walaupun tidaklah kesemuanya yang dapat dirasai akan tetapi sekurang-kurangnya kita berkongsi separuh atau beberapa juzu daripada duka cita itu.



Wallahhu Ta’ala A’lam…

" Jika kamu berselisihan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalilah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (As-Sunnah) "

Surah An-Nisaa’ : 59 .


minitramways.blogspot.com

Mohammedia, Morocco.

17 FEBRUARY 2010 ( 02.21 a .m )


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More